MAHASISWA PERLU BANYAK MEMBACA

Ditulis oleh : Zulzaidi bin Mahmod

 

Mahasiswa merupakan golongan yang akan memimpin dan menerajui kepimpinan Negara Malaysia pada zaman akan datang. Persedian yang perlu dan wajib dibuat adalah dengan pengetahuan melalui pengalaman dan pembacaan. Di Malaysia ini cukup banyak medium untuk mahasiswa membudayakan pembacaan. Antara medium pembacaan adalah akhbar, buku, tesis, majalah, risalah, kertas pembentangan, lawan web, laman blog dan sebagainya. Fokus kita adalah pembacaan melalui medium buku.

Sejarah buku bermula dalam kehidupan manusia apabila orang Mesir mencipta kertas papirus pada tahun sekitar 2400 S.M. Adapun kertas papirus yang ditulis tulisan ini digulungkan untuk menjadi “skrol” (scroll), dan diyakini merupakan bentuk buku yang paling awal. Buku memasuki satu era yang baru apabila industri kertas menjadi mantap. Kertas dipercayai muncul di Negara Cina seawal-awalnya pada 200 S.M, selepas itu teknologi ini dibawa oleh pedagang Muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri-ciri mudah disimpan dan juga tahan lama.

Amalan membaca buku tambahan dikalangan para pelajar universiti di negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan para pelajar universiti di luar negara iaitu secara purata mereka hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian. Dapat kita fahami bahawa mahasiswa sangat lemah dalam pembacaan. Dalam tiga tahun tempoh pengajian puratanya 4 buah buku setahun. Perkara ini dilihat amat memalukan kerana mahasiswa di kategorikan sebagai  generasi atau golongan intelek yang berpengetahuan luas di mata masyarakat.

Menurut Pimpinan Redaksi Majalah SABILI Indonesia Saudara Herry Nurdi menyatakan setiap pembacaan buku ibarat pembaca sedang menitiskan air dalam gelas yang kosong, jika pembacaan itu banyak maka makin banyaklah titisan air ke dalam gelas sehingga penuh lalu menjadi penuh. Analogi ini wajar disematkan dalam sanubari setiap mahasiswa agar pembudayaan budaya membaca dijadikan suatu keperluan penting.

DR. Ratna Roshida Abd. Razak ialah pensyarah Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Pulau Pinang menyatakan bagi pencinta ilmu, buku merupakan pasangannya yang paling setia. Ke mana sahaja mereka pergi akan tetap ditemani oleh pasangannya ini. Al-Jahiz, seorang ulama besar Islam yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan sehingga mati tertindih oleh buku-bukunya pernah berkata: “Buku itu akan diam bila engkau menyuruhnya diam. Dia tidak akan mengganggumu kalau engkau sedang bekerja. Tetapi bila engkau diulit kesepian dialah teman yang akan menjadi temanmu yang paling baik.”

Keadaan kenapa mahasiswa kurang membudayakan membaca adalah mungkin kerana tidak dilatih dari kecil. Malah mungkin juga yang menjadi punca besar adalah mahasiswa hanya bergantung pada nota yang disediakan oleh pensyarah atau dari senior yang mengambil subjek yang sama.  Mahasiswa beranggapan bahawa pembacaaan nota sudah memadai tanpa perlu membaca buku bagi meningkatkan prestasi akademik.

Pensyarah amat menggalakkan mahasiswa sentiasa berdampingan dengan buku dan sentiasa membaca buku, tetapi apa yang dapat dilihat mahasiswa kurang ke perpustakaan untuk meminjam dan membaca buku. Perkara ini dikatakan oleh mahasiswa dari Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya saudara Wan Mohd Amer Bin Yusoff yang mengkaji kekerapan pelajar Akademi Pengajian Islam ke perpustakaan. Ia dilihat secara rawak hanya sekali dalam satu minggu mahasiswa ke perpustakaan, itu pun berkaitan dengan carian untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Di samping itu juga, faktor ekonomi dan harga buku rujukan akademik yang terlalu mahal sehingga mencecah ratusan ringgit menjadikan pelajar berfikir dua kali untuk membelinya. Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (PENA), Syed Mohamad Zakir Syed Othman (SM Zakir) menyatakan bahawa harga buku hanya dijadikan “kambing hitam” oleh sebahagian masyarakat. Katanya lagi harga buku yang tinggi dijadikan alasan utama kurang membaca.

 

Kempen pembacaan diperingkat kampus IPT adalah perlu diadakan secara sistematik dan berterusan serta meluas. Antaranya kempen melalui poster, ceramah, forum atau diskusi buku. Kempen-kempen ini perlulah dijuarai oleh pihak pentadbiran, badan pelajar, persatuan-persatuan juga pelajar agar pembudayaan membaca ini berterusan secara tidak langsung meningkatkan pengetahuan. Diambil contoh dari Kementerian Kebudayaan Keseniaan dan Warisan Malaysia (KEKKWA) telah menggunaakan slogan “BANGSA MEMBACA, BANGSA BERJAYA” yang mana slogan ini menyedarkan masyarakat betapa pentingnya nilai pembacaan di era globalisasi ini.

Selain itu perpustakaan haruslah diperkasakan agar dijadikan tempat untuk berbincang dan berdiskusi. Perpustakaan tidak hanya dijadikan gajah putih di mata pelajar kerana jika berlaku sedemikian, perpustakaan yang kaya dengan khazanah ilmu tidak diambil manfaat oleh pelajar.

Cadangan lain adalah mengurangkan harga buku secara berpatutan agar mahasiswa tidak dapat menjadikan harga buku mahal sebagai kambing hitam. Sebagai contoh rakyat Jepun berpeluang untuk membaca buku apa sahaja kerana dijual dengan harga yang murah dan berpatutan untuk melatih rakyatnya berbudaya membaca. Tindakan ini adalah untuk memastikan rakyat Jepun memperolehi ilmu pengatahuan semaksima mungkin tanpa ada had dan batas. Kebijaksanaan pelaksanaan ini telah menjadikan Jepun sebuah negara yang membangun dan mampu menandingi keupayaan Barat dari pelbagai aspek lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi. Jadi wajarlah pihak penerbitan buku meletakkan kadar harga yang berpatutan agar budaya pembacaan ini menjadi budaya mahasiswa IPTA dan IPTS.

 

Kesimpulannya yang saya mencadangkan kepada mana-mana pihak yang merasakan bertanggungjawab dalam soal pembacaan buku memainkan peranan sewajarnya. Harga buku yang mahal dijadikan alasan mahasiswa untuk tidak membaca tidak patut didengar lagi. Sepatutnya harga buku bukan alasan untuk tidak membaca tetapi sikap yang tidak mementingkan ilmu patut dibuang jauh-jauh. Kempen-kempen membaca juga perlu ditingkatkan dan diperkasakan lagi. Saya tertarik dengan pendekatan Majalah Milenia Muslim yang meletakkan poster membaca dalam Majalah Milenia Muslim untuk menarik minat membaca, perkara ini sewajarnya diikuti oleh semua pihak yang bertanggungjawab.

Di samping itu juga, persatuan-persatuan pelajar juga perlu menggembleng ahli-ahli agar membudayakan membaca kerana kebanyakan ahli hanya pandai untuk membuat gerak kerja program tetapi kurang keintelektualan dalam pembacaan.

Mahasiswa perlu mencari jalan penyelesaian, kaedah dan alternatif terbaik memupuk semangat kuat membaca, kerana membaca adalah teras keilmuan. Ayat Al-Quran pertama dengan lafaz suruhan mengarahkan junjungan besar Baginda Nabi Muhammad S.A.W membaca lafaz “IQRA” dengan maksud “bacalah”. Apa yang diperolehi dari ayat “IQRA” adalah ilmu mestilah bertunjangkan pembacaan, pembacaan mestilah dengan gesaan terhadap diri. Marilah kita selaku mahasiswa menjadikan pembacaan sebagai teras kehidupan.

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga 13 April 2008 perlulah diambil peluang oleh mahasiswa untuk mendapatkan buku dengan harga yang murah justeru menjadikan medan bacaan adalah medan kehidupan.

 

(ZULZAIDI BIN MAHMOD)

Koordinator Pendidikan Pengguna dan Masyarakat

Teras pengupayaan melayu

 

DI ALAMAT :

C-03-19, PPR HILIRAN AMPANG,

55100 KUALA LUMPUR .

860904-56-6593

Email: matnyum@yahoo.com

HP : 012-5002954/016-2201456

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: