Ramai Rakyat Malaysia Yang Menjadi Mangsa Sindiket Pengedaran Dadah Antarabangsa.

Masyarakat Malaysia tidak sempat untuk melepaskan lelah kepenatan, merehatkan otak dari berfikir mengenai masalah yang berhubungkait isu masyarakat Malaysia . Ada sahaja isu hangat yang membabitkan masyarakat Malaysia seperti isu alat kosmetik yang membahayakan kesihatan sehingga menghodohkan wajah, wanita tempatan yang diperdaya oleh warga asing, isu pelajar pintar Negara yang telah hilang identity, jati diri dan harga diri dan sekarang hangat isu rakyat tempatan yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Terpapar di muka depan media bercetak dan kedengaran dari media elektronik bahkan parlimen juga hangat membicarakan isu ini. Masyarakat menggaru kepala memikirkan pembabitan rakyat tempatan dalam isu pengedaran dadah antarabangsa ini, bilakah ia akan selesai? Masih menjadi persoalan.

            Dalam tempoh tiga bulan pertama 2008 tahun ini, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung menyatakan seramai 18 orang wanita tempatan yang ditahan kerana kesalahan dadah di luar negara. Beliau menyatakan demikian untuk menjawab persoalan yang telah diajukan oleh Senator Siw Chun Eam mengenai statistik penahanan rakyat Malaysia di luar negara atas kesalahan dadah.

            Manakala kesalahan menyeludup dadah kira-kira 150 orang rakyat tempatan yang telah dilaporkan dipenjara luar negara dan kebanyakannya membabitkan wanita dan pelajar seperti di Venezuela , Peru , Argentina dan China . Dalang sindiket itu bukan sahaja warga asing, bahkan terdapat juga rakyat tempatan yang sanggup memperalatkan bangsa sendiri atas kepentingan peribadi.

            Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim menyatakan bahawa rakyat tempatan yang di penjara di luar negara ketika ini terbahagi kepada dua kategori iaitu mereka yang terbabit secara langsung dengan sindiket dadah antarabangsa serta mereka yang diperangkap. Beliau juga menyatakan bahawa rakyat tempatan ini hanya menjadi kambing hitam oleh sindiket ini untuk meraih keuntungan atas penyeludupan dadah.

            Tersentak kita apabila kita dikejutkan seorang wanita Malaysia yang ditangkap di lapangan terbang natira, Tokyo pada 20 disember 2006. Raja Munirah Raja Iskandar Shah ditangkap apabila didapati beberapa peket dadah jenis syabu seberat 690.80 gram dijumpai dalam beg yang dibawanya. Dia ke bandar itu bagi menghadiri temuduga jawatan pegawai perhubungan awam (PRO) dengan gaji yang dijanjikan mencecah RM10,000 sebulan. Penahanannya boleh dianggap “mimpi ngeri disiang hari”. Lantaran dari kes itu Raja Munirah Raja Iskandar Shah dikenakan hukuman penjara tujuh tahun sebulan atas kesalahan menyeludup dadah di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo Jepun. Begitu juga berlaku kepada Wan Lidiawati Abdul Majid di Trinidad and Tobago .

            Tidak terhenti setakat itu sahaja seorang wanita kurang upaya (OKU) juga menjadi mangsa sindiket dadah ini. Siti Aishah Hamid ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi pada 24 April lalu dalam percubaan membawa keluar dadah jenis heroin seberat 950 gram dari Pakistan ke Malaysia . Mangsa dikatakan terpedaya dengan taktik terbaru sindiket terbabit yang menawarkan hadiah berupa pakej melancong ke Singapura menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).  Kita lihat sahajalah bahawa golongan yang memperdayakan mangsa ini tidak memilih bulu, mereka sanggup untuk memperalatkan wanita tempatan yang lemah dengan tawaran yang lumayan seperti pekej pelancongan.

            Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di luar negara selepas menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi menghantar barangan kristal ke Taiwan . Sheikh Faiezan Omar ditahan oleh pihak berkuasa Taiwan di Taipei pada 24 Mac lalu. Remaja anak kelima daripada tujuh beradik itu ditahan kerana disyaki membawa dadah jenis heroin seberat 2.141 gram dalam sebuah beg miliknya ketika hendak berlepas pulang ke Malaysia .

            Telah kita ambil contoh beberapa rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Masyarakat seharusnya prihatin isu ini agar tidak mudah terpedaya denga helah yang digunakan sindiket kerana mereka tahu bahawa rakyat memang berbudi bahasa dan lemah dengan pujuk rayu serta mudah diperdaya.

            Perunding Psikologi, Khairol Anuar Masuan menyatakan rakyat negara Malaysia ini menjadi sasaran sindiket dadah antarabangsa kerana sikap masyarakat kita yang mudah terpedaya dengan tawaran lumayan dan menerimanya tanpa berfikir panjang sedangkan tawaran itu adalah tawaran yang tidak munabah seperti pakej pelancongan yang ditaja sepenuhnya tanpa ada “give and take”. Beliau juga menyatakan secara psikologi, kita mudah tertarik dengan tawaran-tawaran yang tidak mungkin dikecapi dengan mudah atau dalam masa yang singkat.

            Begitu banyak lontaran cadangan yang telah dikemukan bagi menangani permasalahan ini agar tidak lagi ada kes sedemikian wujud. Ia juga bertujuan mengembalikan integriti Negara Malaysia di mata global. Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencadangkan wanita berusia 21 tahun ke bawah yang mahu ke luar negara bersendirian perlu mendapatkan perakuan bertulis daripada keluarga. Cadangan Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak yang beranggapan ia mustahil untuk dilaksanakan. Walaupun cadangan itu mustahil dilakukan tetapi ia juga merupakan satu kerangka idea baru yang mana setiap wanita yang ke luar Negara seharusnya diperiksa dengan lebih ketat. Kita cuma mahukan satu mekanisme yang menyeluruh dan berkesan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat tempatan menjadi mangsa sindiket yang yidak bertanggungjawab ini.

            Selain itu dicadangkan juga dengan mengambil langkah mengangkat isu ini sebagai isu perdana oleh media cetak dan media elektronik. Ini dilihat lebih signifikn kerana menjadikan isu ini sebagai isu perdana ia akan memberikan peringatan kepada orang ramai dengan lebih berkesan. Ia juga memberi impak kepada sindiket ini supaya “tidak bermain api” dengan rakyat Malaysia . Bagi kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelbagai langkah sudah diambil antaranya meningkatkan kerjasama dengan jaringan polis antarabangsa Interpol bertujuan mengesan dalang sindiket itu yang beroperasi di negara ini. Langkah ini juga dilihat sebagai langkah yang paling bijak kerana dengan adanya jaringan antarabangsa ini, isu sindiket dadah ini dapat ditangani diperingkat global.

            Kita sepatutnya tidak perlu pergi jauh untuk menangani permasalahan ini. Seharusnya semua pihak berperanan sama menyelesaikan masalah ini dengan kaedah Islam anjurkan iaitu saling ingat memperingati antara satu sama lain. Ini bertepatan dengan surah Adz-Zariyaat ayat 55 iaitu “Dan tetaplah memberi peringatan, Karena Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”. Pihak media perlu mengingatkan pembaca dan penonton, sekolah mengingatkan kepada pelajar, ayah mengingatkan kepada anak-anak dan seterunya peringatan ini berkitar. Dengan nasihat dan peringatan yang menyatakan masyarakat perlu berhati-hati dengan sindiket pengedaran dadah yang tampil dengan pelbagai teknik dan kaedah ia akan memberikan impak yang lebih luas. Maka jelaslah kita bahawa pengedaran dadah ini perlu kita atasinya kerana kelak kita tidak mahiu generasi kita meringkuk di dalam penjara antarabangsa gara-gara tersilap langkah akibat diperdaya sindiket durjana ini.

 

ZULZAIDI BIN MAHMOD

 

JABATAN SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG

AKADEMI PENGAJIAN ISLAM

UNIVERSITY MALAYA

0125002954/0162201456

 

06/06/2008

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: