Rasisme di Malaysia

Saya bersetuju dengan pendapat Dana. Politik perkauman sekali lagi  digunakan untuk memecahkan solidariti mahasiswa secara khasnya dan rakyat secara umumnya. Startegi perkauman bukan pertama kali digunakan untuk untuk memecahkan solidariti rakyat, malah digunakan secara berterusan oleh pihak-pihak berkepentingan bagi meneruskan penguasaan mereka terhadap rakyat dan ternyata strategi ini berjaya dan begitu efektif.

                Politik perkauman dan pada masa ini ditambah pula dengan politik keagamaan menambahakan lagi ketegangan antara kaum di Malaysia. Situasi politik global merupakan antara faktor yang menyumbang kepada situasi perkauman. Pada masa kita mengiktiraf dan berpegang teguh kepada prinsip hak asasi manusia yang menekankan kepada penghormatan terhadap kepelbagaian antara manusia daripada pelbagai aspek, namun, struktur di Malaysia telah menyumbang kepada ekstrimisme sama ada berbentuk perkauaman atau keagamaan. Struktur ini pula diinstitusikan dalam Perlembagaan Malaysia yang jelas gagal menggambarkan situasi masyarakat di Malaysia yang bersifat multi etnik dan fahaman.

Keterasingan Perlembagaan Malaysia daripada realiti sosial masyarakat jelas menggambarkan kegagalan Perlembagaan Malaysia yang merupakan suatu bentuk struktur atau institusi yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia. Justeru,  suatu kesimpulan dapat dibuat daripada situasi ini yang mana asas Persekutuan Malaysia telah goyah dan rapuh. Suatu reformasi yang bersifat progresif yang melibatkan rakyat merupakan suatu keprluan pada saat ini tanpa bersifat bias kepada mana-mana kaum atau agama. Reformasi ini seterusnya mampu mengubah status Perlembagaan Malaysia daripada sebuah struktur yang tertulis di atas kertas dan menjadi taruhan golongan elit kepada suatu struktur atau institusi yang benar-benar bersifat rakyat. Merakyatkan Perlembagaan Malaysia merupakan suatu istilah yang mungkin sesuai bagi menggambarkan reformasi ini.

Bagaimanapun, reformasi yang sepatutnya dijalankan telah diterencatkan oleh limitasi jika tidak ketiadaan proses semakan akibat terencatnya sistem demokrasi di Malaysia. Bagaimanapun, dalam masa yang sama suatu penilaian terhadap cabaran dalam melaksanakan usaha ini perlu diperhalusi dan dikaji.

Masyarakat di Malaysia merupakan suatu masyarakat yang telah dibentuk daripada perkembangan nasional dan global dalam jangka masa yang panjang. Justeru, masyarakat di Malaysia pada hari ini, struktur serta idealismenya, dibentuk oleh sejarah. Perkembangan sejarah merupakan suatu faktor atau aspek penting yang mempengaruhi masyarakat. Pada tempoh terdahulu, perubahan struktur masayarakat telah berlaku dengan pesat terutamanya ketika era kolonialisme. Era kolonialisme telah menyaksikan perkembangan struktur pemerintahan moden yang menginstitusikan dan mengukuhkan lagi konsep etnik secara rigid melalui pengenalan undang-undang secara formal dan bertulis (contohnya berkaitan tanah jawatan kerajaan ).Pada masa yang sama, era kolonailisme juga telah menyaksikan perkembangan pesat masyarakat  yang lebih majmuk hasil daripada kedatangan imigran secara besar-besaran ke wilayah-wilayah British di semenanjung. Kedatangan imigran pada pandangan British pada masa tersebut bagi memenuhi keperluan buruh bagi menyokong eksploitasi terhadap wilayah-wilayah Semenanjung dan mengintegrasikan imigran ke dalam sektor-sektor ekonomi moden.

Pada masa yang sama, masyarakat tempatan tidak terlibat secara aktif selain segolongan kecil sahaja dalam sektor ekonomi moden. Pada suatu aspek, masyarakat tempatan pada masa tersebut tidak bersedia menerima sistem dan struktur ekonomi moden memandangkan sistem ekonomi tersebut dijalankan secara top-down, dan bukan daripada bottom-up memandangkan sistem dan struktur tersebut diperkenalkan oleh British secara ad hoc, dan bukan hasil daripada perkembangan ekonomi masyarakat tempatan. Justeru, sistem ekonomi moden pada masa tersebut boleh dianggap tidak matang. Perkembangan jangka masa panjang menyebabkan berlakunya pembahagian kekayaan yang tidak seimbang antara kaum. Pada masa yang sama, British tidak menggalakkan penglibatan masyarakat tempatan dalam sistem ekonomi moden bagi melindungi kepentingan firma-firma kolonial. Pada masa yang sama wujud kebimbangan akan wujud penentangan terhadap British andainya masyarakat tempatan dipaksa untuk berintegrasi dengan sistem ekonomi moden seperti berlaku di Kepulauan Jawa dan di Indo China.

Perkembangan ekonomi moden telah menyaksikan perkembangan ekonomi masyarakat imigran yang terlibat dalam sektor ekonomi moden dan masyarakat tempatan yang terlibat dalam sektor ekonomi moden. Bagaimanapun, akibat perkembangan ekonomi dalam kalangan masyarakat tempatan yang bersifat tidak matang dan dipaksa oleh Inggeris berbanding masyarakat imigran yang berkembang dengan lebih pesat hasil daripada tindakan pihak kolonial mengintegrasikan wilayah-wilayah asal imigran ke dalam sistem ekonomi moden, maka, golongan elit tempatan (hanya sebahagian kecil golongan bukan aristokrat menerima keistimewaan oleh British terutama dalam peluang pengajian ke peringkat tinggi ) ketinggalan. ( Namun perkembangan ekonomi golongan kelas atasan imigran hanya lebih pesat daripada golongan tempatan tetapi masih ketinggalan daripada golongan kelas atasan di Eropah)

Hal ini membimbangkan golongan elit tempatan memandangkan perkembangan ekonomi telah membawa kepada terhakisnya kuasa penguasa tradisional pada tempoh terdahulu. Pada masa yang sama, walaupun golongan ini telah berintegrasi dengan struktur politik dan ekonomi moden, namun, mereka masih gagal mengembalikan kuasa mereka secara efektif sebaliknya menghadapi ancaman lebih serius kerana gagal mendominasi sektor ekonomi moden sebaliknya dikuasai oleh sekumpulan kecil individu dalam kalangan masyarakat imigran.

Golongan massa pada masa yang sama, sama ada masyarakat tempatan atau masyarakat imigran masih lagi dieksploitasi secara maksima oleh golongan atasan sama ada daripada pihak kolonial, tempatan atau imigran. Disebabkan penguasaan faktor-faktor pengeluaran dikuasai oleh kumpulan minoriti dalam masyarakat yang terbahagi melalui konsep etnik yang rigid yang diinstitusikan oleh Inggeris, penentangan secara kolektif terhadap pengeksploit tidak wujud atau wujud dalam skala yang kecil. Faktor pengeluaran merupakan asas kepada perkembangan sesebuah masyarakat dan berupaya mengikat kelompok majoriti di bawah kelompok minoriti yang menguasai faktor pengeluaran. Kesan daripada permusuhan antara golongan elit tempatan dan golongan elit imigran telah mempengaruhi hubungan antara etnik dalam kalangan massa.

Perkembangan proses di atas telah membentuk struktur serta idealisme masyarakat di Malaysia dan berterusan hasil daripada pembentukan sebuah wilayah baru yang dipanggil Malaya oleh British yang diserahkan kepada golongan elit tempatan dan imigran bagi meyambung eksploitasi terhadap wilayah yang seterusnya digunakan untuk membangunkan Inggeris yang telah hancur akibat Perang Dunia Kedua.

Justeru, dapat dilihat di sini bahawa struktur perkauman ini telah lama dibentuk. Perlembagaan merupakan suatu refleksi terhadap masyarakat. Walaupun Perlembagaan Malaysia terpisah daripada realiti masyarakat Malaysia yang majmuk namun persoalan yang timbul adakah Perlembagaan Malaysia terpisah daripada idealisme dan struktur masyarakat di Malaysia? Bagi menjawab persoalan ini, reaksi masyarakat di Malaysia terhadap realiti masyarakat seperti yang ditunjukkan dalam PRU Mac lalu perlu dinilai kembali .

Penolakan sebahagian rakyat Malaysia terhadap konsep Barisan Nasional yang bersifat perkauman dan penerimaan terhadap Pakatan Rakyat yang bersifat majmuk perlu dinilai kembali. Adakah penolakan tersebut disebabkan kelemahan-kelemahan ketara Barisan Nasional yang memaksa rakyat menolak barisan tersebut dan memilih Pakatan Rakyat yang menawarkan haarapan baru setelah selama berdekad menerima politik perkauman? Atau adakah rakyat menolak Barisan Nasional yang berlandaskan perkauman dan memilih Pakatan Rakyat yang bersifat majmuk kerana mereka menolak politik perkauman?

Bagaimanapun, dalam melakukan usaha-usaha reformasi yang progresif , beberapa aspek perlu ditekankan iaitu:

1.       Mewujudkan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan massa mengenai realiti sosial bagi menghancurkan struktur serta idealisme berbentuk perkauman

2.       Pemerkasaan demokrasi bagi mengembalikan proses check and balance yang telah terencat akibat daripada penafian serta halangan yang dibentuk oleh pemerintah berasaskan rasisme dalam mengekalkan kuasa mereka

3.       Reformasi dalam faktor-faktor pengeluaran bagi mengembalikan penguasaan majoriti terhadap masyarakat serta memerdekakan massa daripada belenggu golongan elit kerana penguasaan golongan minoriti elit dalam faktor pengeluaran akan merencatkan proses demokrasi kerana dikuasai secara tidak langsung oleh golongan minoriti elit

Ketiga-tiga langkah tersebut merupakan langkah yang efektif kerana  merangkumi usaha-usaha reformasi progresif terhadap struktur dan asas pembentukan Malaysia dan masyarakat. Anadai usaha-usaha ini tidak dilaksanakan struktur rasisme dalam kalangan masyarakat di Malaysia akan kekal dan terus menggoyahkan asas Malaysia dan meletakkan nasib Malaysia di hujung tanduk

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: