MAHASISWA: USAH LESU SOAL KEMASYARAKATAN


Mahasiswa pada masakini tidak banyak yang melibatkan diri dalam program-program kemasyarakatan sewaktu berada di menara gading kecuali hanya segelintir mahasiswa yang berfikiran kritikal. Bukan itu sahaja, mahasiswa seakan buta mata dan buta hati untuk bersama dengan komuniti masyarakat hatta di dalam kampung halaman mereka sendiri seperti melibatkan diri dalam aktiviti qariyah dan aktiviti masjid atau surau. Pihak IPT sama ada IPTA atau IPTS tidak mewajibkan mahasiswa untuk mengikuti program-program kemasyarakatan seperti Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM), Bakti Siswa, Program Anak Angkat dan sebagainya yang membawa definisi yang sama iaitu “Mahasiswa bersama masyarakat”. Ini kerana program-program sebegini adalah inisiatif siswa siswi tersebut.

Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) dengan kesedaran segelintir mahasiswa yang mempunyai pemikiran yang kritikal dalam isu kemasyarakatan ini telah membuat Program Khidmat Masyarakat (OPKIM) atau program anak anagkat di Kampung Padang Kemunting Masjid Tanah Melaka. Program yang bermula 5 Mac 09 sehingga 8 Mac 09 berorientasukan kebajikan di peringkat mahasiswa ini melambangkan bahawa mahasiswa perlu lebih perlu lebih responsif dalam isu masyarakat. PMAPIUM melihat program OPKIM ini sebagai satu wadah mahasiswa untuk berada di medan masyarakat dan secara tidak langsung menjadikan mahasiswa lebih berkeyakinan untuk bersama masyarakat terutamanya di kampung halaman masing-masing yang sememangnya memerlukan anak muda seperti mahasiswa yang berpandangan jauh dan bermasyarakat.

Beberapa program yang dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya menunjukkan bahawa mahasiswa dan masyarakat sememangnya perlu bersatu padu untuk membangkitkan kegemilangan komuniti rakyat Malaysia. Diperingkat mahasiswa hanya beberapa perkara sahaja yang dapat dilakukan sepanjang program seperti “Community Mapping”, motivasi pelajar, Smart Solat, ceramah fiqh wanita, sukaneka sukan rakyat, pemeriksaan dan pameran kesihatan, ceramah menghindari najis dadah serta Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “Kampungku Syurgaku”.

Bermula dengan ramah mesra bersama penduduk kampung mengeratkan lagi silaturrahim antara mahasiswa dan orang kampung disamping mengenali adat budaya masyarakat setempat. Ramah mesra ini dinamakan “Community Mapping” kerana mahasiswa PMAPIUM membuat lakaran peta kampung yang menjadi panduan bagi mengenalpasti masalah-masalah yang melanda kanak-kanak, ibu tunggal, belia, warga tua dan alam sekitar. Masalah-masalah ini akan dipanjangkan kepada pihak yang bertanggungjawab seperti ketua kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Slot “Smart Solat” yang dibuat selepas solat Isyak di Surau Al-Falah dihadiri penduduk kampung terutamanya kanak-kanak membuatkan program lebih bersifat Islamik. Penduduk kampung memberi respon yang menggalakkan kerana para ibu bapa menyatakan anak-anak mereka sukar untuk melaksanakan solat terutamanya solat subuh, asar serta maghrib dan perlakuan solat tidak dititik beratkan bermula daripada mengambil wuduk. Saudara Izzat Amin Mohd. Nasir, Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) yang menjadi penceramah kepada kanak-kanak pada malam itu telah merungkai beberapa perkara penting seperti kepentingan mengambil wuduk dengan betul dan kepentingan solat dengan betul. Teori dan praktikal yang diajar memudahkan kanak-kanak dan orang kampung mengingati perbuatan-perbuatan wuduk dan pelaksanaan solat dengan mudah dan jelas. Rata-rata kanak-kanak yang melibatkan diri dalam program “Smart Solat” ini memberi pandangan positif agar program seperti ini dapat dilakukan pada masa hadapan.

“Forum Perdana Ehwal Islam” yang julung-julung kali dilakukan mendapat pandangan positif daripada komuniti kampung kerana forum-forum yang bersifat kerohanian tidak banyak dilakukan dalam program-program kemasyarakatan sebelum ini. Ini juga merupakan satu platform baru dalam program khidmat masyarakat kerana komuniti masyarakat amat dahagakan nilai-nilai keilmuan dan kerohanian yang mampu diterapkan dalam diri masyarakat.

Setelah melihat mahasiswa yang lesu dengan isu-isu kemasyarakatan ini. maka PMAPIUM mencadangkan pihak IPTA dan IPTS mewajibkan semua mahasiswa bermula daripada Ijazah Sarjana Muda untuk mengikuti program-program kemasyarakatan. Ini mungkin boleh dilakukan apabila ada subjek yang berorientasikan kemasyarakatan menjadi teras dalam universiti yang seumpama dengan Hubungan Etnik atau keusahawanan. Subjek-subjek ini perlulah dikaitkan dengan universiti, mahasiswa serta masyarakat untuk menyedarkan betapa pentingnya nilai-nilai, isu-isu, budaya, adat dan sebagainya dalam kemasyarakatan. Jalinan antara mahasiswa dan masyarakat dilihat mampu mengubah pola pemikiran kehidupan sesebuah masyarakat seterusnya mewujudkan masyarakat yang berfikiran terbuka, intelek dan rensponsif, secara tidak langsung membangunkan nilai-nilai ketamadunan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

ZULZAIDI MAHMOD

EXCO AKADEMI DAN INTELEKTUAL

PERSATUAN MAHASISWA AKADEMI PENGAJIAN ISLAM

UNIVERSITI MALAYA (PMAPIUM)

ALAMAT :

BILIK SEKRETARIAT PMAPIUM

AKADEMI PENGAJIAN ISLAM

UNIVERSITI MALAYA

50603 KUALA LUMPUR

0125002954/0162201456

3 Tanggapan

  1. salam, akhi , ana suggest agar seluruh mahasiswa islam yang berpesatuan islam digerakkan dalam sistem berusrah agar seluruh pandangan dan keputusan dapat dibuat secara kolektif, ya sekali lagi perlu digerak dan dikerahkan, sekadar pandangan.

    salam perjuangan. salam

  2. salam
    saya nak minta cadangan tempat
    atau kampung2 yang sesuai untuk program baktisiswa
    dan ank angkat.
    terutamanya utara.’
    harap boleh bantu..beserta no fon sekali
    syukran..

  3. hidup mahasiswa

Tinggalkan komentar